Friday, August 6, 2010

Yang Bernama Cinta

Jun 20, 2010 - Aku sering bertanya pada diri aku ”kenapa aku mencintai kamu?”. Sudah terlalu lama aku menanti jawapan kepada persoalan ini. Setahun telah berlalu dan aku masih tidak punyai jawapannya. Apakah kamu ada jawapannya? Entahlah tapi cinta antara kita ternyata benar dan pelik. Sukar untuk diertikan dan sukar untuk bersatu.

Setahun yang lalu, aku pernah berkata pada diri ”Biar masa yang menentukan semuanya”. Kini setahun telah berlalu dan perasaan cinta itu masih ada. ”Apakah dua tahun, lima tahun atau sepuluh tahun dari sekarang, cinta itu masih akan ada?”. Jawapan itu biar masa yang menjawabnya.

Teman-teman aku banyak yang menghalang aku daripada terus mencintai kamu. Mereka menghalang aku daripada terus menyimpan perasaan ini. Aku tidak menyalahkan mereka kerana aku tahu mereka tidak ingin aku terluka. Mereka ingin melihat aku bahagia. Namun, soal hati tidak dapat dipaksa. Aku telah cuba menghalang perasaan ini dan akhirnya aku terpaksa akur dengan hakikatnya. Hanya kamu yang aku cintai.

Jauh di sudut hati, tersimpan perasaan bimbang yang sukar aku gambarkan. Hakikatnya, kenyataanya dan realitinya tetap aku terima. Aku tahu siapa diri aku dalam hidup kamu dan aku juga mengerti batasannya. Apakah aku bersalah kerana menyintai kamu? Entahlah, aku tidak tahu jawapannya dan yang pasti aku tidak ingin melukai sesiapapun. Satu jawapan yang aku ada ialah aku mencintai kamu dan aku tidak menyimpan niat untuk memiliki kamu sepenuhnya.

Cinta itu pelik tapi benar. Semakin aku menjauh, perasaan cinta ini semakin dekat. Kini aku tidak akan berdolak-dalih lagi. Aku tidak akan meneruskan drama atau berpura-pura lagi kerana aku ingin berdepan dengan realiti yang sebenarnya. Aku tidak pernah membenci kamu walau sedikit pun malah aku masih mencintai kamu sehingga ke saat ini.


No comments:

Post a Comment