Selama ini aku pendamkan perasaan kerana aku takut untuk berdepan dengan kenyataan. Apakah kenyataan itu? Kenyataan yang telah tertulis bahawa aku telah jatuh cinta pada kamu. Aku bersalah kerana aku mencuba untuk memutarkan kebenarannya. Aku seorang pengecut dalam menghadapi kenyataan ini. Lantaran itu, tahun lalu aku telah menyembunyikan diri dan mencuba melawan perasaan dalam hati.
Saat aku mengetahui kedudukan kamu, aku lega kerana aku percaya cinta aku bukan untuk kamu. Tetapi mengapa hari demi hari, perasaan aku semakin mendalam dan bayangan kamu sering berlalu dalam hari-hari aku. Seolah-olah bayangan kamu ialah bayangan aku. Setiap malam aku akan bermimpikan kamu. Mengapa ini terjadi sedangkan aku bukan kekasih kamu? Apakah ini dugaan atau khayalan? Aku buntu dalam menjalani kehidupan yang penuh misteri ini. Aku cuba melupakan semuanya dengan menumpukan sepenuh jiwa dan raga aku dalam internship kerana aku sedang memikul tanggungjawab yang berat. Proses internship perlu aku utamakan daripada terus melayan perasaan yang tidak pasti ini. Hari demi hari, aku lalui saat sepi tanpa aku sedari pintu hati ini telah tertutup untuk insan lain selain diri kamu.
Rupanya selama ini aku menyimpan perasaan yang sungguh hebat. Perasaan yang tidak pernah aku cuba rungkaikan. Perasaan yang aku cuba matikan. Dalam diam, perasaan cinta ini semakin mendalam dan kini aku harus berdepan dengan kenyataannya. Aku mula bertanya pada diri aku. Apakah aku akan menyesal kerana mencintai kamu meskipun kamu tidak akan pernah aku miliki? Jawapannya, aku tidak akan menyesal. Entah mengapa aku begitu pasti dengan jawapan ini sedangkan aku tidak tahu mengapa aku amat mencintai kamu. Ingin aku terima cinta yang lain tetapi hati ini degil untuk mencuba. Sampai bila harus begini?
Sebenarnya keinginan hati ingin terus menyepi tetapi entah mengapa aku terima juga pelawaan kamu untuk memakbulkan permintaan kamu. Pada aku mungkin pertemuan ini ialah yang pertama dan terakhir. Mungkin selepas bertemu dengan kamu, aku akan temui jawapan kepada persoalan aku. Lebih-lebih lagi, aku mampu melepaskan perasaan ini. Jujurnya dalam pertemuan pertama, aku melihat kesayuan dalam mata kamu. Aku tidak mengerti makna disebalik apa yang aku rasakan. Biarpun kamu tidak bersuara tetapi hati ini seolah-olah dapat merasakan semuanya. Bagi aku selepas hari ini, kita berdua akan hidup dalam dua dunia yang berbeza. Aku dan kamu tidak mungkin akan bersatu. Inilah kenyataan dan hakikatnya. Apakah aku mampu hindari diri ini daripada merasai luka?
Namun, kita terus membiarkan perasaan ini hanyut. Aku bahagia meskipun aku hanya mampu bermain sms dengan kamu. Sepanjang minggu itu, aku terus terlena dalam perasaan ini. Ternyata perasaan aku benar dan aku menyintai kamu. Namun, detik demi detik akan tiba jua. Saat yang akan terus memisahkan aku dan kamu. Bila tiba waktunya, aku perlu kembali ke dunia yang nyata dan menerima suratan ini. Aku terima lagi pelawaan yang kedua. Seharusnya aku mengelak daripada bertemu dengan kamu tetapi aku terima juga.
Akhirnya aku tekad untuk berdepan dengan semuanya. Ternyata selama ini aku tidak bertepuk sebelah tangan dan selama ini perasaan yang hadir ialah cinta. Percayalah meskipun kita tidak akan bersatu, cinta aku pada kamu takkan pernah lenyap sehingga akhir hayat. Aku amat mencintai kamu dan aku akan terus mendoakan kebahagiaan kamu. Mencintai kamu ialah pilihan aku dan aku tidak pernah menyesal. Kenangan antara kita akan terus aku abadikan dalam memori ini. Akan aku simpan kenangan kita selama-lamanya. Jangan pernah kamu sangsi ketulusan cinta aku kerana meskipun aku menjauh cinta ini tetap ada. Jangan pernah kamu meragui kesetiaan cinta aku kerana meskipun suatu masa kelak aku dimiliki, setianya cinta ini masih ada ruang untuk kamu. Jangan pernah kamu takut jika aku akan melupakan kamu kerana aku tidak mungkin dapat melupakan insan yang sentiasa dalam doa aku setiap hari. Semoga kenangan ini mampu aku lukiskan dalam lukisan dan akan aku penakan dalam melodi yang terindah hanya untuk kamu.

No comments:
Post a Comment